(SUMBER SURUHANJAYA PILIHANRAYA MALAYSIA)
* Penjelasan SPR mengenai 8 Tuntutan Perhimpunan Haram
SPR belum bercadang untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi rakyat Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun. Hal ini disebabkan sebahagian besar rakyat Malaysia pada masa ini tidak tinggal di alamat yang tercatat di dalam kad pengenalan mereka. Jika sistem pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan, ianya boleh menimbulkan beberapa kesulitan kepada pemilih itu sendiri. Ini kerana, jika alamat yang tertera di dalam kad pengenalan ataupun yang terdapat di pangkalan data alamat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan bahawa seseorang pemilih itu menetap di sesuatu alamat tertentu sedangkan pada hakikat sebenarnya mereka telah berpindah ke suatu tempat baru tetapi tidak membuat pertukaran alamat di JPN dan seterusnya ke SPR, maka pemilih tersebut akan didaftarkan berdasarkan alamat bermastautin yang lama.
Cadangan ini jika dilaksanakan, akan bertentangan dengan kehendak Perenggan (b) Fasal (1) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan “Tiap-tiap warganegara yang bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakkan itu atau, jika tidak bermastautin sedemikian, adalah seorang pengundi tidak hadir, berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Negeri melainkan jika ia hilang kelayakkan di bawah Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pilihan raya; tetapi tiada siapa pun yang boleh mengundi dalam pilihan raya yang sama di dalam lebih daripada satu bahagian pilihan raya”. Ia bertentangan dengan tempat mastautin sebenar pemilih berkenaan kerana beliau telah berpindah ke tempat lain. Jika berlaku pilihan raya, maka pemilih berkenaan akan menghadapi kesulitan untuk menentukan di pusat mengundi manakah beliau akan mengundi kerana namanya tidak disenaraikan di tempat mengundi beliau bermastautin. Jika ramai pemilih yang berpindah tempat bermastautin tetapi tidak memaklumkan kepada JPN, adalah dikhuatiri ramai pemilih tidak akan kembali mengundi jika pusat mengundi terletak jauh dari tempat kediaman mereka.
Sementara itu, sebarang cadangan bagi pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik perlu melibatkan pindaan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Selagi Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berkenaan tidak dipinda, maka selagi itulah proses pendaftaran pemilih secara automatik tidak boleh dilaksanakan. Menurut peruntukan Perkara itu, seseorang yang ingin menjadi pemilih perlu membuat permohonan sama ada sebagai pemilih baru atau melalui pertukaran alamat.
Dalam pada itu, sekiranya pendaftaran secara automatik dilaksanakan tetapi ia tidak disusuli dengan peruntukan pengundian secara wajib, maka peratus keluar mengundi di kalangan pemilih berdaftar dijangka akan merosot dengan teruk iaitu berkemungkinan sekitar 50 peratus sahaja dengan mengambil kira purata peratusan keluar mengundi beberapa pilihan raya umum yang berlangsung sebelum ini.
Seperti mana yang kita ketahui, SPR sentiasa mengambil langkah ke hadapan dalam usaha bagi meningkatkan lagi pendaftaran pemilih. Pelbagai saluran pendaftaran telah disediakan oleh SPR bagi memudahkan orang ramai mendaftar sebagai pemilih dan menyemak maklumat pendaftaran mereka. Saluran-saluran yang disediakan itu adalah seperti yang berikut:
(1) Kaunter Statik Ibu Pejabat SPR di Putrajaya;
(2) 14 Kaunter Statik iaitu di 14 buah Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara;
(3) 702 Kaunter Statik Pejabat Pos Berkomputer di seluruh negara;
(4) Kaunter-Kaunter bergerak SPR melalui Program Outreach di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat membeli belah, kawasan-kawasan taman perumahan, pejabat-pejabat kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, dan pusat-pusat latihan kemahiran di seluruh negara; dan
(5) Lebih lapan ribu Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik daripada kategori-kategori Wakil Parti Politik, Wakil Jabatan Kerajaan, Wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Wakil Universiti/ Kolej Universiti/ Kolej.
Dari semasa ke semasa, publisiti dalam media massa berhubung urusan pendaftaran pemilih turut diadakan oleh SPR. Pelbagai program pendidikan pengundi oleh SPR seperti ceramah dan taklimat telah dan akan terus diadakan bertujuan memberi kesedaran tentang tanggungjawab warganegara dalam urusan pilihan raya, termasuklah urusan pendaftaran pemilih. Jadi, apa yang penting ialah kesedaran individu itu untuk menggunakan haknya sebagai warganegara dengan mendaftar sebagai pemilih melalui saluran-saluran sah yang disediakan oleh SPR.
0 ulasan:
Catat Ulasan